Pakej Prihatin Rangsang Kitaran Pemulihan Ekonomi - Abdul Hadi

Abdul Hadi.
MARANG, 27 Mac - Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi dijangka dapat merangsang kitaran ekonomi negara untuk segera pulih.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, inisiatif terbaharu kerajaan pusat itu juga memberi kelegaan kepada kepada petugas barisan hadapan, peniaga dan rakyat di segenap lapisan.

"Ia sangat menyeluruh, dan benar-benar prihatin terhadap kesusahan dan keresahan rakyat yang terjejas dengan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau yang juga Presiden PAS,  pakej Prihatin tersebut akan berjaya dilaksanakan melalui kesungguhan Jemaah Menteri yang telah ditunjukkan dan mendapat dukungan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Semoga Allah memberi petunjuk-Nya kepada para pemimpin untuk menghadapi cabaran kesihatan, ekonomi dan sosial yang melanda tanah air tercinta ini," tambah beliau.


Tag: