• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Pandangan, Idea Wanita Muda Akan Dibawa Ke Dewan Rakyat



Hanafiah Mat. Foto Oleh - Hidayah Azlin.
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Pandangan serta idea wanita muda yang diutarakan dalam Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia akan dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kertas kerja berkaitan beberapa isu penting melingkari wanita dan kanak-kanak itu akan diteliti dengan rapi.

“Kos sara hidup, penambahbaikan sistem pendidikan negara, naratif sebenar perjuangan hak wanita dan kesihatan mental serta solusi jenayah seksual melibatkan kanak-kanak adalah contoh masalah utama yang dibincangkan.

“Ia bukan hanya bermain di Sidang DUN, tetapi wakil parlimen akan membawa isu ini ke parlimen, untuk isu yang memerlukan tindakan segera, kita akan usahakan ke jabatan yang berkaitan,” katanya.
Zuraida Md Noor.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia yang berlangsung di Stadium Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor memaklumkan, penubuhan Urus Setia Wanita oleh kerajaan negeri menjadi medan terbaik untuk semua pihak bersatu menyelesaikan masalah wanita.

Jelasnya, hal berkaitan wanita adalah isu penting yang harus dicakna semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

“Semua pihak seperti Puteri UMNO, PAS (Ameerah) dan Wanita Bersatu kami jemput untuk jayakan program serta seruan ini.

“Sebab kita membawa satu suara wanita, semua boleh bersuara mewakili mana-mana entiti, tetapi pada akhirnya apa yang ingin kita bawa adalah kesepakatan untuk menyelesaikan semua masalah tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Program, Mardhiyyah Johari berkata, konvensyen yang dihadiri lebih 2,500 peserta dari seluruh negara itu turut menjadi platform terbaik untuk beliawanis bersuara berkongsi pendapat.

“Ramai bijak pandai dalam kalangan wanita muda yang ingin sampaikan pandangan, jadi kita sediakan ruang untuk mereka berbicara dalam apa jua isu melibatkan undang-undang, pendidikan, sosial, kesihatan dan ekonomi,” tambah beliau.

Mardhiyyah Johari.





Tag: