34 PPS Diaktifkan Di Hulu Terengganu, Tempatkan 2,155 Mangsa
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Kerajaan negeri membidas kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen DAP dari Kepong yang mengatakan tindakan Terengganu mengenakan kompaun kepada penganjur parti liar sebagai tak masuk akal.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kompaun RM25,000 itu tidak menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu sebaliknya ia menjadi pengajaran buat pihak yang melanggar peraturan.
Katanya, sangat tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan itu sebagai langkah ke belakang kepada industri pelancongan tempatan.
"Hanya kerana sebilangan kecil yang tidak memahami atau mengikut peraturan, adakah adil untuk mengatakan ia memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan tempatan?.
"Usahlah 'serkap jarang' nanti tersalah malunya besar, berkata biarlah berfakta, jangan hanya hendak mencari modal politik murahan untuk menjana populariti," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Muhammad Khalil berkata semua sedar pelancongan adalah salah satu industri penting yang memacu ekonomi negeri, kerana itu pelbagai inisiatif, pembangunan dan kemudahan diperkasakan bagi menarik kedatangan pelancong.
"Namun begitu, kerajaan negeri telah mentapkan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua pihak sama ada pemain industri mahupun pelancong seiring dengan pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar.
"Pemain sektor pelancongan yang berkualiti mampu menjamin kemampanan industri yang berpotensi besar ini dalam jangka masa yang panjang," ujarnya.
Justeru tegasnya, dengan kepelbagaian produk yang menjadi daya tarikan dalam negeri Terengganu adalah tidak munasabah dengan hukuman tegas akan mengkibatkan kedatangan pelancong merosot hanya kerana parti liar persendirian seumpana itu dihalang penganjurannya.
"Terengganu sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia khususnya keindahan pulau-pulau di perairannya dan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna.
"Terengganu terjual kerana keindahnnya, alam semulajadinya, kebudayaan dan masyarakatnya, Eloklah dikekalkan begitu, semoga rezekinya berkat dan dilimpahi rahmat Allah SWT," katanya.
Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menegur kerajaan Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 kepada resort swasta di Pulau Lang Tengah.
Ujar Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan itu, tindakan tersebut tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan negara