PAS Ajak UMNO, PH Heret 'Penjenayah Addendum' ke Muka Pengadilan

KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Pemuda PAS Terengganu mengajak UMNO, DAP, PKR dan PAN untuk membuat laporan polis sekali gus mengheret pihak yang menyembunyikan titah addendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak ke muka pengadilan. 

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menegaskan, tindakan menyorok titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 itu adalah perbuatan jenayah dan pelakunya perlu dihukum.

"Ini bukan soal parti politik atau individu semata-mata, tetapi soal amanah kepada rakyat dan institusi negara. 

"Dalang yang sengaja menyembunyikan titah ini, mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi.

"Institusi Raja adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan kehormatan negara, pelanggaran terhadap titah Sultan tidak hanya dianggap sebagai isu undang-undang, tetapi juga melibatkan moral dan etika," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media di IPD Kuala Terengganu selepas membuat laporan bagi menggesa pihak polis menyiasat dalang yang menyorok dan melanggar titah YDPA.

Mengulas lanjut, Irsyad Syafiq berkata, pihaknya berasa ralat, kerana sepatutnya pihak Pemuda UMNO lebih ke depan membuat laporan polis kerana melibatkan bekas Presiden UMNO. 

"Namun tidak mengapa, atas dasar menjaga institusi negara, PAS membuat laporan ini.

"Juga atas asas menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sewajarnya pihak PKR, DAP dan PN turut membuat laporan sama agar perkara ini disiasat segera, berbanding mengeluarkan kenyataan sebaris per sebaris. 

"Pihak pemuda PAS Terengganu mengingatkan pihak penderhaka jangan lari, pihak kami yakin pihak polis akan menyiasat perkara ini hingga ke lubang cacing kerana jelas melanggar undang-undang dan menderhaka kepada YDPA," tambah beliau.

Dalam Mahkamah Rayuan semalam, ada sepucuk surat yang merupakan dokumen baharu dalam kes rayuan Najib berkaitan titah itu bertarikh 4 Januari 2024, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Surat berkenaan memaklumkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku YDPA ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah addendum bertarikh 29 Januari 2024.

Sehubungan itu, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan titah addendum tersebut adalah wujud dan sahih.


Tag: