Jalur Gemilang
Berita :
PAS Siap Sedia Hadapi PRN Melaka, Tunggu Jawapan RoS Mengenai Logo PN
PAS Siap Sedia Hadapi PRN Melaka, Tunggu Jawapan RoS Mengenai Logo PN
Noraini Jusoh
42 minit yang lepas
26

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – PAS telah menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) masih menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan itu merangkumi pelbagai program dan gerak kerja parti yang dilaksanakan sebelum PRN Johor lagi.

“Sebelum PRN Johor lagi, kita telah mengadakan pelbagai program termasuk menyertai program PAS di Melaka.

“Saya rasa semua parti pun sedang bersedia menunggu tarikh yang akan diumumkan oleh SPR nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri, yang juga pengerusi PN, berkata gabungan itu telah mengemukakan surat kepada RoS bagi mendapatkan kepastian mengenai penggunaan logonya dalam PRN Melaka.

“Dalam surat kita yang terakhir kepada RoS, memang kita secara spesifik bertanya tentang penggunaan logo PN dalam pilihan raya di Melaka.

“Kita tunggu jawapan daripada RoS dahulu kepada persoalan kita,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Samsuri menegaskan rundingan perlu berasaskan formula yang dipersetujui bersama, bukannya anggapan bahawa sesuatu kerusi merupakan hak mana-mana parti.

“Sebenarnya saya nak betulkan istilah, bukan beri kerusi kerana kerusi itu bukan milik sesiapa, tetapi kerusi yang dipertandingkan.

“Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa kerusi itu milik mereka semata-mata. Jadi, kena ada formula dan bincang bagaimana,” katanya.

Menurutnya, jika formula status quo digunakan, kedudukan kerusi di peringkat negeri dan Parlimen perlu turut diambil kira dalam rundingan bersama parti yang terlibat.

Sementara itu, beliau berkata PN belum memutuskan bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka dan akan menunggu perkembangan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita tunggu selepas pengumuman daripada SPR dahulu. Selepas itu kita akan tentukan tarikh yang sesuai untuk dibuat pengumuman mengenai bagaimana bentuk kerjasama yang akan dihadapi dalam pilihan raya ini,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan