Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pembukaan Pasar Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, sejak semalam mendapat sambutan yang menggalakkan.

Timbalan Pengarah LKIM Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan, pasar terbabit diwujudkan bagi menjaga kebajikan para nelayan disamping menawarkan harga jualan yang berpatutan kepada pembeli.

“Hari ini merupakan percubaan  untuk melihat sambutan masyarakat setempat. Sekiranya sambutan yang menggalakkan ini berterusan, pihak LKIM akan perluaskan lagi pemasaran dan akan menambahkan lagi infrastruktur di sini," katanya.

 



Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Zahan bin Mamat menyifatkan, dengan adanya pasar tersebut diharapkan agar suasana di Pelabuhan LKIM Chendering ini akan kembali meriah setelah sekian lama menjadi suram.

“Alhamdulillah kita lihat sambutan yang memberangsangkan dan kita juga ada membuat perkhidmatan penghantaran kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu ini,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan di lokasi tersebut, semalam.

Disamping itu, rata-rata peniaga memberikan respon yang positif kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan mesra pengguna.

 

Pembukaan Pasar Nelayan ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut hadir bagi meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di situ.

Sebagai makluman, Pasar Nelayan ini akan dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.