Pasar Pagi Bukit Diman Bakal Dinaik Taraf

Suasana Pasar Pagi Bukit Diman, Ajil

Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU- Pasar Pagi Jumaat Kampung Bukit Diman akan dinaiktaraf bagi keselesaan, kemudahan dan keselamatan kepada para peniaga termasuk pembeli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata penyusunan semula tapak pasar berkenaan merupakan langkah terbaik supaya beberapa masalah berkaitan dengannya dapat diatasi.

Katanya, mengikut perancangan apabila tapak baharu disiapkan, para penjual akan masuk ke dalam pasar manakala di tepi jalan ada disediakan parkir yang lebih selamat untuk pengguna.

"Jadi penjual dapat menjual dengan sempurna dan pembeli dapat membeli dengan selesa sebab itu kita mengharapkan sokongan daripada semua pihak terutama penjual untuk kebaikan bersama atas faktor keselamatan, keselesaan dan kebersihan pasar ini.

"Alhamdulillah, setakat ini para peniaga pasar pagi yang terlibat memberi maklum balas dan penerimaan yang sangat baik atas usaha yang ingin dilakukan ini,"ujarnya.

Yb Maliaman

Beliau berkata demikian kepada Wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menghadiri taklimat cadangan menaiktaraf pasar pagi Jumaat bersama para peniaga  bertempat di Masjid Kampung Bukit Diman, di sini, semalam (19 Oktober).

Antara peniaga pasar pagi Bukit Diman yang hadir mendengar cadangan menaiktaraf pasar pagi jumaat Bukit Diman 


Sementara itu, Penghulu Mukim Tanggol dan Diman, Jefridin Salleh berkata perancangan menaiktaraf pasar dibuat secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Jelasnya, perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat di peringkat daerah dan perbincangan telah dibuat bersama Yb ADUN Ajil baru-baru ini.

"Peringkat awal, kita sediakan tapak  permulaan sebagai kemudahan persiapan kepada peniaga- peniaga yang berniaga di tepi jalan untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

"Ianya sesuai dengan hasrat di peringkat daerah dan DUN yang mahu mewujudkan satu lokasi yang strategik kepada semua peniaga di kawasan ini dan orang luar, walaubagaimanapun merujuk juga kewangan yang ada di peringkat negeri.

" Alhamdulillah, Yb ADUN Ajil telah bersetuju untuk memberi peruntukan di bawah DUN untuk kita buatkan satu tapak yang sesuai dahulu di peringkat permulaan," ujar Jefridin.

Jefridin

Tambahnya lagi, anggaran kos untuk penyediaan tapak dan kerja asas sebanyak RM20 ribu manakala pada tahun hadapan tapak tersebut akan di premit balik untuk menyediakan kiosk - kiosk bagi kemudahan orang ramai.

Seorang peniaga yang ditemui, Razeta Mamat berkata kesibukan kenderaan di laluan utama membahayakan keselamatan dan kesihatan peniaga termasuk pembeli.

"Kenderaan semakin banyak melalui kawasan ini terutama lori dan kereta, kita bimbangkan keselamatan orang yang hendak membeli kerana kesibukan jalan dan debu yang dibawa kenderaan.

"InsyaAllah, jika pasar berada di tapak yang jauh dari jalan raya maka peniaga dapat berniaga dengan tenang," katanya.

Tag: