Pasarnita di Pasar Malam Tanjung, Kuala Terengganu akan dilaksanakan di seluruh negara bagi menambah pendapatan golongan wanita, sekali gus berupaya melonjak ekonomi negeri dan negara amnya.
Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berkata,Terengganu muncul negeri perintis yang merealisasikan perniagaan berkonsepkan tapak jualan khas untuk golongan wanita sebagai langkah membantu golongan sasar menjana ekonomi dan pendapatan keluarga.
"Saya sangat berbangga dengan komitmen kerajaan negeri dan tindakan bijak Menteri Besar (Ahmad Razif Abd Rahman) yang merealisasikan projek ini dalam masa yang sangat singkat, sebaik dicadangkan dua tahun lalu, sewajarnya dipuji.
“Saya mahu supaya usahawan wanita memanfaatkan peluang diberikan dengan sebaik mungkin. Ia menjadi satu pengiktirafan kerajaan negeri untuk golongan wanita dan saya mahu konsep pasarnita ini juga dilaksanakan di negeri lain. Wilayah Persekutuan akan menjadi negeri seterusnya melaksanakan konsep yang sama seperti di Terengganu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasarnita@Tanjung Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Majlis perasmian pasarnita itu disempurnakan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, sebanyak RM13.9 juta diperuntukkan untuk membangunkan pasarnita berkenaan yang menyediakan 34 tapak kekal dari enam pavilion dan 101 tapak sementara yang akan menjadi pusat aktiviti keusahawanan negeri dengan menampilkan konsep yang lebih menarik, bersih dan eksklusif.
Menurut beliau, premis perniagaan berkenaan mampu memberi manfaat kepada 135 usahawan wanita bagi mempamer serta memasarkan produk seperti pakaian, makanan, kesihatan, kecantikan dan seni kraftangan.