Jalur Gemilang
Berita :
PASTI Habib Cipta Kelas Tersendiri, Bawa Guru Serta Keluarga Nikmati Pengalaman Naiki Pesawat MAS
PASTI Habib Cipta Kelas Tersendiri, Bawa Guru Serta Keluarga Nikmati Pengalaman Naiki Pesawat MAS
Adli Mohamad
15 jam yang lepas
413

KUALA NERUS, 9 November - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Habib, Kuala Nerus tampil melakukan kelainan untuk hari keluarga pada kali ini apabila membawa 66 peserta terdiri dari guru dan ahli keluarga masing-masing menikmati pengalaman menaiki Kapal Terbang Malaysia Airlines (MAS) ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Pengurus PASTI Habib, Mohd Fahmi Alias berkata, program tiga hari yang diadakan itu berkakhir semalam sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru di ketiga-tiga cawangan PASTI Habib yang selama ini telah bertungkus lumus dalam memastikan para pelajar dapat meningatkan prestasi pelajaran di tahap terbaik sebelum melangkah ke sekolah rendah.

Ujarnya  lagi, sejak 2024 ketika PASTI Habib memulakan operasi para guru inilah yang menjadi sebahagian tenaga yang membangunkan pusat asuhan tersebut sehingga dari tiga cawangan akan dibuka satu lagi pada tahun hadapan.

"Pihak pengurusan mahu memberikan pengalaman berharga kepada semua guru dan ahli keluarga masing-masing, khususnya peluang menaiki Kapal Terbang yang mungkin selama ini tidak pernah dirasai oleh mereka kerana tidak semua orang berkemampuan untuk membeli tiket menaiki pesawat.

"Kerana itu pada kali ini kami lakukan kelainan dengan mengadakan aktiviti hari keluarga dengan cara yang lebih ekslusif dengan memberikan peluang kepada guru-guru merasai sendiri pengalaman tersebut bersama ahli keluarga masing-masing,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja pulang dari Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, kos penganjuran program yang diadakan selama tiga hari termasuk menaja penginapan dan sarat dengan pelbagai aktiviti itu mendapat penajaan daripada Azhar Care serta beberapa pihak yang yang turut memberikan sokongan bagi menjayakan program Hari Keluarga PASTI Habib 2026.

"Diharapkan agar dengan pengalaman yang diberikan menerusi program yang diadakan ini akan dapat memberi satu suntikan semangat kepada guru-guru untuk terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan lebih berdidikasi dalam memastikan mutu pendidikan terbaik dapat diberikan kepada para pelajar.

"Juga berharap agar mereka dapat memainkan peranan sebagai guru PASTI dalam kelasnya yang tersendiri agar terus dapat membimbing generasi anak-anak yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang dan PASTI akan terus menjadi tempat pilihan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mendapat kualiti pendiidikan terbaik,"ujar beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan