Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melaksanakan program Payang Walk dan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 8 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluluskan cadangan pihak MBKT untuk menganjurkan program Payang Walk dan operasi beca warisan di lokasi terbabit.
“Payang Walk merupakan konsep jualan dan aktiviti berkonsepkan pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang).
“Antara segmen jualan dan aktiviti yang akan dijalankan adalah jualan barangan tempatan, makanan tradisional tempatan serta persembahan kebudayaan dan kesenian,” ujarnya pada sidang media program tersebut di Menara MBKT, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Menurut Ariffin, program Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan.
“Menteri Besar dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran program ini pada 21 Julai nanti dan kira-kira 100 peniaga akan mengambil bahagian.
“Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan beca secara percuma pada malam perasmian,” ujarnya.
Katanya, selain meningkatkan imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu dan memperkasa imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, tujuan penganjuran Payang Walk dan laluan beca warisan juga adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk.
“Selain itu, kita juga mahu mengalakkan ‘retail street culture’, mengekalkan warisan tradisi tempatan dan juga mempromosi agenda ‘car free day’,” jelasnya.
Sementara itu, Rosli berkata, laluan khas beca warisan dan hentian (pit stop) di sekitar Pasar Besar Kedai Payang diwujudkan adalah sebagai usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi warisan tradisi tempatan selain untuk mengangkat operasi beca sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dan pengunjung.
“Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh tiga kilometer. Beca-beca sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama pihak MBKT dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
“Ketika ini di lapangan telah terdapat empat unit beca telah dinaiktaraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan unit lagi masih di peringkat ubahsuai,” ujarnya.
Menurut Rosli, di sepanjang operasi Payang Walk dan beca warisan ini, sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar di Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang akan ditutup sepenuhnya untuk laluan kenderaan bermotor.
“Penyediaan laluan khas beca dan penutupan jalan ini hanya pada hujung minggu sahaja iaitu setiap hari Jumaat petang hingga malam bermula jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam,” ujarnya.