PB Hotel Tawar Bilik Penginapan Serendah RM67 Sempena Merdeka
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Bagi menyemarakkan sambutan merdeka ke-67, pada tahun ini, Paya Bunga Hotel Terengganu menawarkan promosi bilik pada harga serendah RM67 bermula 12 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Abdul Hadi Alias, berkata kempen promosi "PB Hotel 67 Merdeka” menyediakan 67 buah bilik dan ia terbuka kepada semua pelanggan yang menyertai kempen itu melalui platform media sosial TikTok Paya Bunga Hotel.
Katanya, promosi tersebut diadakan sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67, serta sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia hotel yang telah memberikan sokongan padu sejak lima tahun Paya Bunga Hotel beroperasi.
"Promosi PB Hotel 67 Merdeka ini diadakan sebagai sokongan kepada keperluan industri pelancongan, khususnya dalam meraikan kedatangan pelancong ke negeri Terengganu.
“Harga istimewa RM67 ini kami tawarkan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong hotel kami," katanya.
Menurutnya, ia bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga sebagai inisiatif menyokong industri pelancongan negeri Terengganu.
Tambah Abdul Hadi, kempen itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi negeri Terengganu dan menginap di hotel tersebut, selain memperluaskan jangkauan dan pengaruh Paya Bunga Hotel dalam industri perhotelan melalui platform media sosial.