Berita :
Pelaburan RM500,000 Dibuang Dalam Laut Kijal Demi Lindungi Habitat Ikan
Pelaburan RM500,000 Dibuang Dalam Laut Kijal Demi Lindungi Habitat Ikan
Hidayah Azlin
5 jam yang lepas
86

KIJAL, 16 Jun– Kerajaan Negeri Terengganu melaburkan peruntukan lebih RM500,000 melalui pelabuhan tukun tiruan di perairan Kijal, di sini pagi ini bagi memelihara khazanah laut dan membantu meningkatkan sosioekonomi nelayan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program pelabuhan tukun tiruan tersebut dilaksanakan di lokasi sekitar lima batu nautika dari Pantai Penunjuk Kijal.

Menurut beliau, projek pembangunan berimpak tinggi itu mungkin tidak kelihatan di mata kasar masyarakat, namun ia membawa impak yang amat besar kepada ekosistem marin jangka panjang.

"Lebih RM500,000 duit kita buang dalam Laut Kijal pagi ini. Ini adalah pembangunan yang tidak dapat dilihat secara zahir, tetapi impaknya sangat besar.

" Objektif utama kita adalah untuk memastikan tukun ini menjadi lubuk atau 'rumah' baharu buat pembiakan ikan. Pada masa sama, ia berfungsi sebagai zon penampan semula jadi bagi menghalang pencerobohan bot pukat tunda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai melabuhkan tukun dalam Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (rekreasi), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Azman turut menitipkan pesanan dan peringatan mesra kepada komuniti nelayan tempatan agar bersama-sama menjaga aset awam tersebut demi kelangsungan pendapatan bersama.

Beliau menegaskan agar tiada mana-mana pihak yang cuba merosakkan kemudahan penanda yang telah disediakan atau menganggap kawasan berkenaan sebagai zon eksklusif peribadi.

"Harapan saya kepada para nelayan, tolong jangan potong pelampung (penanda tukun) dan jangan jadikan tukun ini sebagai hak peribadi. Ini adalah tukun awam untuk dikongsi manfaatnya bersama-sama semua nelayan.

"Kepada 'awok-awok' (komuniti nelayan) Kemaman, tolong pantau sentiasa keadaan tukun ini. Kalau ada rezeki dapat ikan merah, tolong maklumkan," seloroh beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan