Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Pelajar Cemerlang SPM 2020 Kijal Disantuni
Oleh : Mujahid MK
KEMAMAN, 17 Julai - Seramai 57 orang pelajar cemerlang SPM 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu majlis ringkas oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kijal kelmarin.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang cemerlang dan teruskan berusaha kepada pelajar yang kurang berjaya.
"Syabas dan tahniah kepada pelajar yang cemerlang dan berjaya mengharumkan nama sekolah dan keluarga.
"Tetapi kepada pelajar yang kurang cemerlang teruskan dan gandakan usaha untuk berjaya pada masa yang akan datang," katanya.
Seorang pelajar yang ditemui, Nur Afiqah Insyirah Husain mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan penghargaan yang dizahirkan oleh pihak DUN.
"Alhamdulillah dan ribuan terima kasih kepada pihak PKM DUN Kijal di atas sumbangan dan penghargaan ini.
"Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjaya dan cemerlang pada masa akan datang," ujarnya.
Hazri juga mengucapkan tahniah kepada para pendidik dan pihak pengurusan sekolah yang berusaha dan berkorban masa untuk memastikan kecemerlangan dapat dicapai.
Majlis yang diadakan di Kompleks Paya Lasir, Kijal berjalan dengan penuh kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang turut dihadiri oleh Ketua Balai Polis Kijal Osman Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (Kijal) Zabidin Awang, Abdul Wahab Ahmad dan Ustazah Mesilah Mohammed.