Pelajar PKT Laksana Pendawaian Elektrik 34 Rumah Di Marang

Antara sukarelawan dari PKT yang terlibat dalam Program Touch Point Cabinet Away Day 2017, PKT bersama Parlimen Marang di Kampung Kenanga.

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) meneruskan program sukarelawan dengan melaksanakan kerja pendawaian elektrik 34 rumah di Parlimen Marang bermula Oktober lalu.

Program yang sama pernah dilaksanakan dengan kerjasama Parlimen Besut melibatkan 100 buah rumah pada 2016.

Pengarahnya, Radiah Che Su berkata,  pihaknya menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia memperuntukkan RM170,000 dengan mensasarkan 34 buah rumah dapat menikmati faedah itu di Marang.

"PKT telah diberi tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja membaiki dan memulihkan elektrik secara berfasa di rumah-rumah terpilih di sekitar Marang yang melibatkan empat DUN iaitu Bukit Payung, Alor Limbat, Rhu Rendang dan Pengkalan Berangan.

"Fasa pertama yang berlangsung pada Oktober hingga November lalu, PKT berjaya menyiapkan sebanyak 12 buah rumah dan bagi fasa kedua sebanyak 22 buah rumah lagi diperuntukkan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Touch Point Cabinet Away Day 2017, Politeknik Kuala Terengganu Bersama Parlimen Marang di Kampung Kenanga, Marang, hari ini.

Radiah berkata, fasa kedua sudah bermula sejak awal Disember tahun lalu dan dijangka akan berakhir pada pertengahan bulan ini.

Katanya, bagi fasa pertama, kos yang dikeluarkan KPT melibatkan RM60,000 dan fasa kedua pula menelan belanja sebanyak RM110,000.

Tambahnya, program tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengenal pasti dan membaik pulih kerosakan pendawaian elektrik di kediaman yang dicadangkan malah memberi keyakinan serta motivasi kepada pelajar di bidang kejuruteraan elektrik.

"Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program termasuk membaik pulih pendawaian elektrik usang dan boleh membahayakan serta aktiviti pendawaian penambahan untuk pemasangan lampu, soket dan kipas.

"Selain itu pelajar turut membuat aktiviti penukaran aksesori pendawaian elektrik yang rosak dan semua aktiviti terbabit dipantau pensyarah yang berkemahiran dalam bidang itu," katanya.

Tag: