Pelancong 'Makin Laju' Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Suku pertama tahun 2024 merekodkan lebih 1.5 juta pengunjung dan pelancong bertandang ke negeri Terengganu, melebihi sasaran awal ditetapkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris yakin, perkembangan itu membolehkan Terengganu mencapai sasaran kehadiran 4.5 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.

"Pada suku pertama, saya melihat ia (kehadiran pengunjung) agak 'laju' ke depan, lebih sedikit daripada 1.5 juta.

"Pelancong ini ada dua kategori, satu dipanggil pelancong iaitu yang bermalam dan pengunjung bagi individu yang datang secara 'day trip'. Bagi pelancong, masih laig tidak seperti kita jangka tetapi ramai yang masuk secara 'day trip'. Kedua-dua kategori yang dijumlahkan dan kita telah mencapai sasaran untuk suku pertama.

"Cuma untuk separuh tahun ini saya tidak tengok dan kira lagi. Tetapi, saya yakin jika kita tengok (trend) 'Terengganu dok rilek' ini kita akan capai sasaran itu, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar, petang semalam.

Menurutnya, program berkenaan bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta melibatkan 106 kelab motosikal termasuk dari luar negara dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung pada hujung minggu ini.

 TIBW 2024 juga menyajikan kelainan kali ini dengan pelbagai aktiviti serta program menarik sesuai untuk segenap lapisan umur.

Kerjasama East Coast Motorcycle Club (ECMC) bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu bakal memperagakan pertunjukan dan aktiviti kebudayaan seperti batik dan sebagainya, selain program berunsur keagamaan.

 

 

 


Tag: