KUALA NERUS, 4 April - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan proses pelantikan Ketua Pembangkang masih dalam fasa pertimbangan dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, keputusan pelantikan bagi jawatan tersebut memerlukan beberapa proses penting di peringkat kepimpinan sebelum ia dimuktamadkan secara rasmi.
"Masih ada beberapa proses yang perlu dilaksanakan dan insya-Allah kita akan selesaikan dalam waktu yang terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mendedahkan senarai calon yang sedang dipertimbangkan bagi mengisi jawatan tersebut.
"Sabar dulu, kita tengok dalam masa terdekat ini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa kelewatan pelantikan itu berpunca daripada perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan parti.
Sebaliknya, beliau menjelaskan situasi itu adalah bagi memberi ruang kepada pertimbangan yang lebih teliti, memandangkan sidang Parlimen hanya dijadualkan berlangsung pada bulan Jun depan yang memberi masa mencukupi untuk mencapai keputusan terbaik.
"Bukan masalah pendapat, tetapi kita masih ada masa untuk membuat pertimbangan. Parlimen pun lambat lagi pada bulan Jun, jadi kita tunggu dahulu," jelas beliau.
Ditanya mengenai jangka masa khusus pelantikan itu akan dimuktamadkan, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman tidak memberikan sebarang tempoh rasmi.
"Saya tak boleh sebut waktu. Kalau sebut, nanti orang tunggu waktu itu pula. Jadi kita pergi kepada proses, insya-Allah bila selesai semua, kita maklum,” tambahnya.
Terdahulu, beliau dilaporkan akan mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu daripada PAS sebelum akhir Mac ini selepas beberapa proses dalaman parti selesai dilaksanakan.