Pelita Raya: Terima Kasih Pilih Seberang Takir

KUALA NERUS, 14 Mac -  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat menzahirkan kegembiraan dalam pemilihan perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak sebagai tuan rumah Pelita Raya 2025.

"Saya ucap terima kasih apabila pihak Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) yang pilih Seberang Takir sebagai tuan rumah Pelita Raya kali ini.

"Secara peribadi, saya lihat kawasan ini sesuai sebagaimana exco maklumkan, kawasannya luas dengan parkir yang banyak.

"Saya rasa ini menyenangkan pengunjung dan memudah mereka ke sini," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, malam tadi.

Hadir sama ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Beliau yang turut berharap lebih ramai pengunjung akan hadir sepanjang empat hari program tersebut yang akan berakhir pada Ahad.

Sebagai rekod, pertandingan pelita raya ini hanya diadakan di kampung-kampung tertentu.

Kemudian, ia dibawa ke Kampung Budaya Terengganu (KBT) dan seterusnya Taman Tamadun Islam (TTI) dengan diperluaskan skop dengan pertandingan antara daerah.

Pelita Raya 2025 turut disertai negeri Perlis dan Kelantan serta pameran pelbagai kaum di Terengganu selain penglibatan kali pertama negara luar iaitu Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.


Tag: