Pemain Industri Pelancongan Mesti Peka Keselamatan Pelancong
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Pengusaha serta pemain industri pelancongan digesa agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pelancong terjamin.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, dengan memastikan keselamatan lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung diutamakan ia akan memberi pulangan yang lumayan apabila dikunjungi secara berterusan tanpa ada kebimbangan.
"Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan, keselamatan, kebersihan dan lain-lain perlu dititikberatkan untuk menarik pengunjung datang ke Terengganu dan ia mesti menjadi tanggungjawab bersama.
"Keuntungan itu akan kembali kepada pemain industri, pihak kerajaan akan membantu untuk mempromosikan tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi yang akan memberi pulangan yang lumayan kepada pemain-pemain industri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semasa menghadiri sambutan pelayar antarabangsa Sempena Program Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally 2024, di Jeti Marina Garden, Duyong Marina, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai kejadian pelancong warga emas dari Jerman yang maut akibat lemas semasa bercuti di Pulau Perhentian, beliau berkata ia perlu menjadi iktibar kepada penggiat industri tersebut.
"Jadi kita minta supaya semua yang terlibat dalam pelancongan ini memastikan SOP keselamatan dipatuhi agar insiden seumpama itu tidak berulang dengan memeberikan perkhidmatan yang tebraik bagi memastikan industri ini terus maju.
"Ini merupakan 'industri kita bersama' jadi masing-masing perlu ambil peranan dan perhatian, kerajaan akan mengambil perjalanan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan memastikan pakej pelancongan yang ditawarkan memberikan keselesaan dan selamat kepada mereka yang bertandang ke negeri ini.
"Kalu semua dapat mengambil tanggungjawab insya-Allah kita yakin sasaran untuk mencapai 4.5 juta pelancong pada tahun ini akan dapat dicapai,"katanya.