Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Pembelajaran Lebih Meluas Lengkapi Keperluan Global
DUNGUN, 28 Julai - Pembelajaran tidak terhad hanya berlaku di dalam kelas semata-mata tetapi turut memerlukan penglibatan pelajar kepada ilmu-ilmu di luar kelas bagi menghadapi cabaran dan daya saing di peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pendedahan berkaitan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) juga dilihat sebagai aspek penting kepada pembangunan minda dan kemajuan pelajar .
"Kita harap pendidikan STEM ini, dapat menarik lebih ramai pelajar untuk mendalaminya dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
"Kebanyakan negara maju semakin menekankan pendidikan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan seharian dan penyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri pada akan datang.," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program STEM Outreach Workshop 2024 bertempat di Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, semalam.
Tambahnya, bagi memenuhi hasrat ini pengetahuan dan pembudayaan amalan STEM perlu diterapkan kepada pelajar dan pengajar serta dijadikan sebahagian budaya untuk menggerakkan inovasi dari peringkat akar umbi dan memudahkannya disebarluaskan.
"Program seperti inilah dapat menjadi platform penting untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STEM dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan generasi muda.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama rakan strategik serta semua pihak dalam menjayakan Program STEM Outreach Workshop 2024 ini demi membantu pengembangan ilmu di luar dalam kelas," ujarnya.