Pembinaan Kolam Khas Wanita di La Hot Spring Capai 70 Peratus

BESUT, 11 November - Pembinaan kolam dan laluan khas untuk wanita di Kolam Air Panas La kini mencapai 60 hingga 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa satu atau dua minggu lagi, bergantung pada keadaan cuaca. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Besut dan pegawai Pejabat Daerah atas tindakan pantas melaksanakan cadangan pengasingan ini. 

“Idea ini timbul selepas lawatan terdahulu, di mana saya mendapati kolam yang ada ketika itu dikongsi oleh lelaki dan wanita.

“Cadangan kita untuk mengasingkan kolam lelaki dan perempuan di La Hot Spring ini adalah satu corak pengasingan yang cukup bagus sebagai langkah pertama. 

“Ini membuktikan kerajaan negeri mengambil serius dalam memastikan lunas-lunas agama Islam terjaga di tempat pelancongan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa Lawatan Kerja Ke Produk Pelancongan Kolam Air Panas La, disini, semalam.

Menurut Razali, pada fasa pertama pengasingan ini, sumber air tetap dikekalkan dalam keadaan asalnya. 

“Pengasingan ini tidak mengakibatkan air kolam berbeza daripada punca asal, suhu dan kepanasannya juga kekal asli dan original.

“Sesiapa sahaja yang hadir ke sini dapat menikmati pengalaman yang sama di kolam yang dikhususkan untuk lelaki dan wanita,” jelasnya.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan negeri Terengganu untuk mengasingkan tempat mandi bagi lelaki dan wanita, bagi memberikan keselesaan serta privasi yang lebih baik kepada para pengunjung. 

Selain pengasingan kolam dan laluan, Razali turut berkongsi pandangannya tentang keunikan La Hot Springs sebagai salah satu tarikan pelancongan istimewa di Terengganu. 

“La Hot Spring ini adalah satu produk yang luar biasa di Negeri Terengganu. Kalau kebiasaannya kolam air panas terletak berhampiran gunung berapi, di Terengganu kita tiada gunung berapi, namun tetap ada kolam air panas semula jadi.

“Terdapat sejarah penyembuhan penyakit yang dikaitkan dengan kolam air panas ini, menjadikannya tarikan utama bagi pengunjung tempatan dan juga antarabangsa," katanya.

Beliau turut melaporkan bahawa pagar yang rosak akibat banjir besar tahun lalu telah dibaik pulih sepenuhnya, manakala tandas yang ditambah baik kini tersedia untuk kemudahan pengunjung. 

“Semua kerja baik pulih ini dijalankan dengan kerjasama komuniti setempat dan JPKK, yang menunjukkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat.

“Dengan penambahbaikan dan pengasingan kolam ini, saya yakin La Hot Spring akan menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung tempatan dan luar negara, serta berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu pada masa akan datang,” ujarnya.