HULU TERENGGANU, 10 November - Rata-rata pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang bakal mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mahukan calon yang mengubah nasib rakyat dan bukannya atas dasar manifesto sahaja.
Tinjauan mendapati mereka ini juga mahukan wakil rakyat yang berperanan mengharmonikan kawasan tanpa membezakan parti, warna kulit dan agama, selain efisien mendengar suara rakyat.
Seorang pengundi kali pertama, Anis Atirah Ismail, 21, berkata dia inginkan kestabilan negara semakin baik dan aman setelah pilihan raya serta mahukan pemimpin yang membuat kerja dan patuh ajaran agama.
“Saya nak tengok aman, tiada pergaduhan, tak mahu tengok pergaduhan menteri-menteri dan ahli politik dalam parlimen rebut jawatan.
“Kalau calon ini hanya sekadar cakap dan tak buat apa yang dia cakap itu calon yang tak berfungsi lah. Saya pilih calon yang banyak bantu rakyat dan ikut ajaran agama,” katanya.
Beliau yang bakal pulang mengundi di parlimen Hulu Terengganu pada 19 November ini berkata, dia juga lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik sebagai rujukan memilih wakil rakyat.
"Kami orang muda mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa namun melihat kepada ketidakstabilan sejak kebelakangan ini menyebabkan bukan sahaja saya tetapi golongan muda menjadi bosan.
"Suasana politik sekarang sudah jauh berubah dengan pengundi lebih bijak membuat pilihan dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan lebih stabil dari kerajaan yang mengamalkan korupsi dan tidak amanah," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi pengundi muda, Ahmad Nizam Mukhtar, 19, berkata, berkata, dia turut melihat kepada calon yang diketengahkan terlebih dahulu sebelum membuat pilihan.
“Saya membuat rujukan melalui media-media sosial sekarang maklumat mengenai perkembangan politik kerana mudah diperoleh.
"Oleh sebab itu, calon-calon perlu agresif mendekati pengundi muda yang dilihat mampu menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik itu," ujarnya lagi.
Seorang lagi remaja yang bakal mengundi kali pertama, Muhammad Amaluddin Mat Jusuh, 22, berkata dia mahukan calon yang menjaga kebajikan rakyat, turun padang dengar keluhan rakyat bagi ringankan beban mereka.
"Saya tidak mahu calon yang menjanjikan bulan bintang tetapi tidak amanah selepas menjadi wakil rakyat tetapi calon yang mampu menegakkan dan melaksanakan undang-undang Islam dan menjaga rakyat sebaik mungkin," katanya.
Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Oktober lalu sebanyak 5,467 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi kali pertama pada PRU-15 di Parlimen Hulu Terengganu dan ini tidak termasuk 19,733 pemilih berusia 21 hingga 29 yang sebahagianya juga merupakan pengundi kali pertama.