KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Proses pemvaksinan fasa satu di Terengganu iaitu kepada keseluruhan petugas barisan hadapan yang bermula 2 Mac ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia akan melibatkan lebih 15,000 orang ‘frontliners’ di seluruh negeri berpandukan senarai nama petugas.
“Penerima tersebut terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan juga petugas barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi.
“Untuk makluman, bilangan dos vaksin diterima adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai ke Terengganu sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Tambah Nor Azimi yang juga antara penerima vaksin pertama, pusat pemberian vaksin akan melibatkan enam hospital dan 14 buah klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Fasa pertama ini mungkin akan tamat pada bulan April atau Mei bergantung kepada setakat mana kita boleh selesaikan senarai penerima vaksin.
“Kita juga berbeza dengan negeri luar dan jumlah ‘frontliner berlainan dari negeri ke negeri,” katanya lagi.