Pengalaman Disondol Babi Sewaktu Banjir Menjadi Igauan Ngeri

DUNGUN, 14 Januari - Pengalaman disondol seekor babi hutan sewaktu banjir menjadi igauan ngeri yang sukar dilupakan oleh seorang penduduk di Kampung Batu Sawar, Bukit Besi.

Noor Rila Wati Othman, 54, berkata, kejadian berlaku ketika dirinya ke reban ayam bagi mengambil telur untuk dijadikan lauk sewaktu terkepung banjir.

"Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi tidak boleh ke mana-mana kerana terputus hubungan apabila jalan utama yang menghubungkan ke Bukit Besi dan juga ke Dungun tidak boleh dilalui.

"Semasa pergi ke reban hendak mengambil telur ayam tidak sangka babi tersebut ada di bawah rumah, saya panik apabila terlihat babi yang begitu besar dan tidak tahu berbuat apa-apa apabila haiwan tersebut meluru menyondol perut saya dan dengan pantas cuba mengelak yang mengakibatkan saya mengalami luka di pergelangan tangan," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya, baru-baru ini.

Noor Rila Wati berkata, dia kemudiannya segera menelefon Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Sawar, Khaziman Khalik bagi mendapatkan bantuan membawanya dengan pacuan empat roda bagi mendapatkan rawatan segera di Klinik Felda Jerangau.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu yang turut menyantuni mangsa banjir di sini. 

Walau bagaimanapun, Noor Rila bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar sahaja pada kejadian yang menimpa dirinya 10 Januari lalu.

Sementara itu, Nur Zahariah Hasan, 45, yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Sawar berkata, sepanjang musibah berkenaan melanda Bukit Besi, dia tidak dapat tidur dengan lena.

"Saya terfikir keselamatan saya dan anak-anak, tambahan pula suami bekerja di luar Terengganu, tapi saya bersyukur kerana banjir pada kali ini di kampung ini tidak sebagaimana tahun 2014 di mana air tidak sampai ke rumah saya.

"Saya ambil langkah berjaga-jaga apabila mengetahui keadaan banjir di Hulu Dungun sangat teruk, jadi sukar hendak lelapkan mata pada setiap malam. Namun begitu, semua jalan tidak boleh dilalui menjadikan saya terperangkap dalam banjir, dan terima kasih kepada pimpinan setempat yang ambil cakna dan prihatin kepada penduduk di sini sepanjang berhadapan banjir," ujarnya.