Penganjur Jom Heboh Setuju Ikut Garis Panduan Kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Penganjur Program Jom Heboh Terengganu 2024 telah bersetuju untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata penganjur berikrar untuk patuh dengan semua tatacara penganjuran hiburan di Terengganu termasuk mengenai pengasingan kawasan lelaki dan perempuan serta keluarga semasa acara pentas.

Katanya, pengasingan itu bertujuan menjaga privasi dan mematuhi adab Islam serta tidak melanggar kesalahan jenayah syariah di negeri berkenaan.

"Kerajaan negeri ingin memastikan semua pengunjung dapat menikmati persembahan dengan penuh keselesaan, tanpa sebarang ketidakselesaan atau gangguan.

“Pengasingan kawasan ini merangkumi pemisahan tempat duduk untuk lelaki dan perempuan semasa konsert, dengan tanda jelas yang menunjukkan kawasan masing-masing.

“Pengasingan tersebut dijangka dapat membantu mengurangkan sebarang masalah yang mungkin timbul dan memastikan acara hiburan malam tersebut berjalan dengan lancar serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada garis panduan yang ditetapkan untuk acara tersebut, yang juga melibatkan kehadiran penguatkuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk memastikan tiada pelanggaran syariah berlaku,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Razali berkata, pihak penganjur juga telah bersetuju untuk mengarahkan semua artis dan urus setia untuk mematuhi garis panduan pemakaian, dengan artis wanita wajib memakai tudung dan lelaki dikehendaki menutup aurat.

“Tidak ada sebarang nyanyian wanita dibenarkan, dan semua nyanyian akan dikhususkan kepada genre yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Dengan pelaksanaan garis panduan ini, kami berharap dapat menyediakan pengalaman yang harmonis dan selesa bagi semua pengunjung Jom Heboh,” ujarnya.

Razali berkata, pihaknya juga menggalakkan pengunjung untuk mematuhi panduan yang telah disediakan demi menjamin kelancaran acara.

Untuk rekod, Jom Heboh 2024 di Terengganu bermula pada 1 hingga 3 Ogos bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.


Tag: