SETIU, 23 Julai – Penggunaan katil di hospital awam di Terengganu dilaporkan sudah mencecah 90 peratus ekoran peningkatan kemasukan pesakit terutamanya melibatkan influenza dan Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, walau bagaimanapun kapasiti katil hospital masih berupaya menampung pesakit.
Katanya, keperluan katil di hospital masih mencukupi daripada 1,733 katil secara keseluruhan.
“Kalau diperhatikan di Terengganu ada berlakunya peningkatan kemasukan ke wad melebihi 90 peratus bagi penggunaan katil buat masa sekarang.
“Mengikut rekod, kes seperti influenza dalam lima peratus, kes Covid (1 peratus) dan selebihnya adalah penyakit biasa (tidak berjangkit),” katanya dalam sidang media Program Tanaman Bandar antara Pejabat Pertanian dan Hospital Setiu di Perkarangan Kuarters Hospital Setiu, di sini semalam.
Pada masa yang sama, Kasemani turut berkata bahawa bekalan ubat-ubatan di enam hospital dan 53 kinik kesihatan masih mencukupi sehingga tiga bulan.
“Saya melihat adanya peningkatan kes influenza atau jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) kerana perubahan cuaca yang menyebabkan virus ini mudah berjangkit.
“Walau bagaimanapun, kami sentiasa memantau sekiranya tindakan lanjut perlu diambil seperti menambah bilangan katil,” ujarnya.