Pengusaha Batu Bata Tempatan Berdepan Persaingan Luar
Seorang pekerja sedang menyusun kayu api untuk proses pembakaran batu bata di dalam relau. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail |
Pengedar bahan binaan batu bata merah di negeri ini termasuk Syarikat Keluarga Jaya, Tepoh, Kuala Nerus kini berdepan dengan masalah permintaan yang berkurangan berikutan saingan daripada pengeluar dari luar Terengganu.
Pengurus syarikat itu, Abdullah Daud berkata, faktor lain kurangnya projek pembangunan dan perumahan kerajaan di mana pihak itu lebih berminat kepada batu bata simen dan dinding konkrit pasang siap yang dianggap lebih murah.
Katanya, faktor itu menjadi penyebab utama batu-bata merah milik syarikatnya menjadi longgokan walaupun harga yang ditawarkan hanya 0.31 sen sebiji.
“Hanya mampu mengeluarkan kira-kira 300,000 batu bata sebulan berbanding 600,000 hingga 700,000 dalam tempoh sama, sepuluh tahun lalu.
“Batu bata merah milik Syarikat Keluarga Jaya diperbuat daripada tanah liat, digali dan dijemur sebelum melalui proses pembakaran di dalam relau, mutunya jauh lebih baik berbanding bahan binaan yang mengunakan teknologi moden,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat itu, hari ini.
Menurutnya, difahamkan batu bata yang dipasarkan syarikat luar menggunakan bahan daripada tanah bukit yang bermutu rendah, tanpa menjalani proses penjemuran dan sebagainya yang dijual dengan harga yang rendah.
"Yang hairannya, syarikat dari luar ini tidak dikenakan cukai oleh Pihak Berkuasa Tempatan apabila dibawa masuk dan dipasarkan ke sini, sedangkan kita di sini dikenakan cukai.
“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mengenakan syarat atau cukai kepada syarikat-syarikat batu bata dari luar yang mengedar bahan binaan berkenaan di negeri ini,” katanya yang mengambil alih syarikat yang berusia hampir 35 tahun itu pada 1991.
Abdullah berkata, ini penting bagi membantu syarikat-syarikat batu bata tempatan bernafas kembali. Masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh syarikatnya, tetapi syarikat-syarikat lain yang ada di negeri itu.
"Sudah ada beberapa syarikat pengeluar batu bata gulung tikar apabila bahan binaan itu tidak mendapat sambutan atau tidak dapat dipasarkan di sini,” katanya.