TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
Pengusaha PKS Digalak Sertai Kempen Harga Patut
Oleh: Afiq M. Zaid
KUALA TERENGGANU, 10 November- Usahawan dan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan untuk menyertai Kempen Harga Patut anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha meringankan beban kos sara hidup masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penyertaan pengusaha PKS dalam kempen tersebut bukan sahaja membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat malah memberi peluang kepada para peniaga memasarkan produk masing-masing.
“Kempen seperti ini perlu diketengahkan kerana bukan setakat membolehkan barangan dijual pada kadar yang lebih rendah dari harga biasa tetapi sebagai platform kepada pengusaha PKS untuk memperkenalkan produk-produk baru mereka.
“Disamping membuka ruang kepada para peniaga untuk mencari 'business mathcing' dengan pasaraya-pasaraya besar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program Kempen Harga Patut anjuran KPDNHEP Negeri Terengganu yang berlangsung di Galeri A, Yayasan Pembangunan Usahawan, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Negeri Terengganu, Saharudin Mohd Kia.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, sebanyak tujuh kategori disediakan untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan ketika membeli belah sempena kempen tersebut iaitu makan segar, makanan sejuk beku, makanan kering, makanan tin, minuman, barangan bayi dan kanak-kanak serta barangan bukan makanan.
"Saya difahamkan potongan harga antara 10% sehingga 50% maknanya siapa (pengusaha) yang nak masuk sini mesti menawarkan potongan antara 10 - 50% kepada pembeli,” ujarnya.