Perak Lebur Impian Juara Terengganu

KUALA LUMPUR, 26 September- Perak sekali lagi berjaya meleburkan impian pasukan Terengganu untuk bergelar juara TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 apabila menumpaskan pasukan Pantai Timur itu dengan jaringan 4-2.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu garang mendahului lawan seawal minit pertama melalui gol sudut penalti yang dijaringkan Faizal Saari.

Namun, Perak dapat menyamakan kedudukan melalui gol padang pada minit ke-17 hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Selepas itu, segalanya tampak sukar buat anak buah Tai Beng Hai. Terengganu lebih banyak menahan asakan Sang Seladang yang mempamerkan corak serangan pantas.

Penggempur Perak yang merupakan tonggak kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-30' dan 32' membolehkan lawan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Haziq yang terpilih sebagai 'player of the match' malam ini meledak satu lagi gol padang pada minit ke-46 menyentak semangat Terengganu.

Ketinggalan 4-1 di awal babak kedua, Terengganu cuba bangkit merapatkan jurang.

Pada minit ke-59, Faizal Saari berjaya meledakkan gol melalui sudut penalti, tetapi sayang kebangkitan tersebut tidak dapat diteruskan.

Keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Terengganu tewas buat kali ketiga kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak, setelah tumpas kepada lawan sama pada tahun 2017 dan 2018.

 


Tag: