Perantau Rakan Kongsi Kerajaan Negeri

ALOR SETAR, 25 Jun - Anak Terengganu di perantauan dianggap sebagai rakan kongsi kerajaan negeri yang berperanan menyumbang idea bagi meningkatkan mutu pentadbiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Abdullah berkata, sebagai rakyat yang tinggal di perantauan sudah tentu mereka mempunyai pandangan di 'luar kotak'.

"Perantau masih  bertanggungjawab untuk membangunkan negeri, sudah tentu apa jua yang disuarakan serta dilontarkan akan diberikan perhatian demi kebaikan bersama.

"Perantau juga merupakan pengundi, kerana itu semua berhak untuk menyuarakan pendapat demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terbela walau di mana sahaja berada," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Terengganu Bersama Perantau Zon Utara, di Kediaman Menteri Besar Kedah, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dato' Wan Romaini Wan Salim, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Razab.

Dalam majlis berkenaan, seramai 80 perantau telah menerima dana i-Perantau yang merupakan inisiatif khas kerajaan negeri.

Jelas Wan Sukairi, kecaknaan kerajaan negeri terhadap anak rantau tidak bermusim sebaliknya telah lama digerakkan.

"Sebaik sahaja kita (PAS) mengambil alih kerajaan negeri, pada Mei 2018 usaha yang kita lakukan adalah mendekati anak Terengganu di perantauan dengan dijadikan sebagai rakan kongsi serta duta kepada kerajaan negeri Kerana itu juga kita mengadakan jelajah di seluruh negara, untuk bertemu dengan semua anak Terengganu ini.

"Bagi menceritakan perkembangan terkini bagi mendapat jawapan serta penjelasan sebenar dari pemimpin sendiri agar semua mendapat maklumat serta hebahan terkini mengenai usaha sedang dijalankan selain beramah mesra dan bertukar fikiran.

"Kerana didapati ramai yang berada di luar dari negeri sendiri tidak tahu terdapat inisiatif yang diberikan oleh kerajaan tidak hanya bertumpu kepada rakyat yang tinggal dalam negeri semata-mata sedangkan semuanya layak," ujarnya.