lightning-solid
Berita :
MPV Rempuh Gajah di LPT2, PERHILITAN Guna Dron Kesan Kawanan
MPV Rempuh Gajah di LPT2, PERHILITAN Guna Dron Kesan Kawanan
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
5 jam yang lepas
109

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sedang giat mengesan sekumpulan gajah liar susulan insiden sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh haiwan berkenaan di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, semalam.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata pemantauan menggunakan dron sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi serta pergerakan kawanan tersebut.

Kumpulan gajah itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bukit Bandi, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut Dennis, enam anggota PERHILITAN digerakkan ke lokasi bermula jam 12.30 tengah malam untuk mengawal keadaan dan memantau pergerakan haiwan liar berkenaan.

Kehadiran anggota terbabit juga bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya, khususnya sekiranya kawanan itu masih berada berhampiran laluan LPT2.

Beliau berkata tindakan lanjut akan diambil sekiranya kumpulan gajah tersebut dikesan masih berada di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, meminta orang ramai supaya tidak panik sekiranya terserempak dengan gajah liar.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri atau membaling sebarang objek ke arah haiwan berkenaan.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu denyar kerana tindakan itu boleh mencetuskan tindak balas agresif daripada gajah.

Razali turut menyarankan pengguna supaya mengekalkan jarak yang selamat dan memberi laluan kepada gajah untuk melintas sehingga keadaan kembali terkawal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan orang ramai tidak perlu panik sekiranya terserempak dengan gajah liar, tidak menghampiri atau membaling objek ke arah haiwan berkenaan, selain mengelakkan penggunaan hon, lampu tinggi atau lampu denyar yang boleh mencetuskan tindak balas agresif.

Tambahnya, pengguna jalan raya juga disarankan memberi laluan kepada gajah untuk melintas dengan selamat serta mengekalkan jarak yang sesuai sehingga keadaan kembali terkawal.


Tag :

Artikel Berkaitan