lightning-solid
Berita :
 Perkasa Kemahiran Membaca Kanak-Kanak Melalui Smart Bell KVKV
Perkasa Kemahiran Membaca Kanak-Kanak Melalui Smart Bell KVKV
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
71

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 19 Julai – Smart Bell KVKV(Konsenan, vokal ,konsenan, vokal) merupakan inovasi bahan bantu mengajar yang dibangunkan bagi mengubah pendekatan pembelajaran membaca kanak-kanak melalui kaedah yang lebih interaktif, menyeronokkan dan berpusatkan murid.

Inovasi dihasilkan Wan Nurul Adibah  Wan Ahmad dari Tadika Khalifah Utama Dungun sebagai satu penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi sebahagian murid yang masih lemah mengenal huruf, membunyikan suku kata serta membaca perkataan mudah. 

"Melalui pendekatan berasaskan permainan, Smart Bell KVKV berjaya menarik minat murid untuk belajar dalam suasana yang lebih santai dan aktif," katanya.

Menurutnya Smart Bell KVKV menggabungkan beberapa bahan pembelajaran seperti kad gambar, kad perkataan, kiub huruf dan loceng meja dalam satu set permainan pendidikan. 

"Murid perlu mengenal pasti gambar yang dipaparkan, menyusun huruf bagi membentuk perkataan KVKV yang betul sebelum menekan loceng sebagai tanda jawapan telah disiapkan. Kaedah ini bukan sahaja menguji kefahaman murid, malah merangsang daya fikir, meningkatkan fokus dan mengukuhkan daya ingatan mereka terhadap perkataan yang dipelajari," jelasnya.

Katanya, keunikan Smart Bell KVKV terletak pada konsep pembelajaran sambil bermain yang mampu meningkatkan penglibatan aktif murid sepanjang sesi pengajaran. 

"Elemen pertandingan yang diterapkan turut menjadikan murid lebih bersemangat, berani mencuba dan yakin untuk membaca di hadapan rakan-rakan.

"Walaupun mempunyai fungsi yang berkesan, Smart Bell KVKV dibangunkan menggunakan bahan yang mudah diperoleh seperti kotak kadbod terpakai, loceng meja, kiub huruf dan kad gambar dengan kos keseluruhan sekitar RM17 sahaja,"  jelasnya.

Ujarnya lagi, inovasi ini membuktikan bahawa bahan bantu mengajar yang berkualiti tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi, sebaliknya bergantung kepada kreativiti dan idea seorang pendidik.

"Selain digunakan di tadika dan prasekolah, Smart Bell KVKV turut berpotensi diperluaskan penggunaannya di kelas pendidikan khas dan program intervensi literasi awal kerana reka bentuknya yang fleksibel serta mudah diubah suai mengikut tahap pembelajaran murid.

"Smart Bell KVKV bukan sekadar sebuah permainan pendidikan, malah menjadi medium pembelajaran yang mampu meningkatkan minat membaca, membina keyakinan diri dan memperkukuhkan asas literasi awal kanak-kanak. 

"Inovasi ini membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran yang kreatif mampu melahirkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna serta membantu murid menguasai kemahiran membaca dengan lebih berkesan," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan