Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik'  2024

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Permai Hotel Kuala Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori “Best City Hotel” di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini.

Pengurus Besarnya,  Noralizan Abd Rahman berkata kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian hebat bagi Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandar Kuala Terengganu.

Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga. 

"Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung. 

"Permai Hotel juga telah melakukan beberapa pengubahsuaian bilik, penggantian karpet Ballroom, dan renovasi restoran," ujarnya ketika ditemui pemberita. 

Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Majlis tersebut turut mempertandingkan lebih 60 kategori termasuk ejen pelancongan, perhotelan, seni dan budaya, perkhidmatan makanan dan banyak lagi. 

Noralizan juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu.

"Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya," ujarnya.