Permai Hotel Serah Pampasan RM42 Ribu Kepada Keluarga Arwah

Hishamuddin menyerahkan cek pampasan bernilai RM42,000 kepada ibu bapa arwah Mohd Hizwan


KUALA TERENGGANU, 31 Mac - "Kami akan gunakan wang pampasan ini dengan menunaikan impian arwah yang ingin melihat rumah kami dibaik pulih dan tidak kesampaian semasa hayatnya," kata Harun Ngah, 61, bapa kepada arwah Mohd Hizwan Harun, 29.

Allahyarham Mohd Hizwan, kakitangan Permai Hotel, maut dalam kemalangan pada Disember tahun lepas ketika pulang dari kerja.

"Pampasan RM42,000 yang diserahkan oleh pihak hotel akan kami gunakan sebaiknya termasuk menunaikan hasrat arwah untuk baiki rumah dan sediakan garaj kenderaan, sekurang-kurangnya rumah itu akan jadi kenangan kepada keluarga kami seumur hidup.

"Keprihatinan Permai Hotel menawarkan kerja sebagai pembantu chef kepada adik arwah, Mohd Azrin Aidil Harun, 21, untuk mengganti jawatan yang pernah disandang arwah membuatkan kami sekeluarga lebih terharu,"ujarnya.

Harun berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyerahan Cek Pampasan Perlindungan Insurans Berkelompok dan Kemalangan Diri di Hotel Permai yang disampaikan oleh pengerusinya, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, di sini hari ini.

Sementara itu, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, berkata pampasan itu adalah wajar bagi memastikan setiap kakitangan yang bekerja di hotel berkenaan selesa dan merasa selamat sepanjang mereka berkhidmat.

"Skim perlindungan insurans berkelompok dan kemalangan ini telah dicarumkan kepada semua kakitangan sebaik sahaja mereka melapor diri tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Secara tidak langsung, mereka sebenarnya turut memberi sokongan kepada industri perhotelan negeri Terengganu," ujarnya lagi.

Bagi Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman pula berkata, pampasan itu sebagai memenuhi tanggungjawab majikan terhadap kebajikan pekerja.

"Kemalangan itu menimpa arwah ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, sebab itu kebajikannya di bawah tanggungjawab kami dan diharapkan pampasan tersebut dapat meringankan beban ahli keluarga arwah,"ujarnya lagi.

Menurutnya, selain pemberian itu pihaknya juga menawarkan kerja kepada adik bongsu arwah bagi memastikan tanggungjawab arwah membantu keluarga sebelum ini dapat diteruskan.


Tag: