Permohonan Bantuan i-Belia Dibuka Julai

ALOR SETAR, 26 Jun - Permohonan bantuan 'one-off' atau i-Belia untuk anak muda dan mahasiswa akan mula dibuka pada Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan pemberian berkenaan membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan yang menjadi aset penting Terengganu.

"Sekarang ini dalam proses diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dinilai serta diluluskan, saya menjangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini perkara ini akan selesai.

"Insya-Allah selepas itu kita akan mula membuka permohonannya bagi mengumpulkan data penerima dan peruntukannya nanti berdasarkan jumlah data penerima yang kita kumpulkan, selepas daripada itu proses pengagihan akan kita lakukan seberapa segera," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir pada Majlis Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu bersama Perantau, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dato' Wan Romani Wan Salim serta Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT). Mohd Nasir Abdul Razab.

Mengulas mengenai program berkenaan, Wan Sukairi berkata pertemuan dengan perantau Zon Utara yang dihadiri 100 keluarga dari Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang itu sangat bermakna kepada kerajaan negeri.

"80 orang (Ketua Isi Rumah) telah menerima bantuan i-Perantau yang mana ini merupakan kali ketiga diadakan setelah kita menyantuni perantau di Lembah Kelang (Zon Barat) yang kedua di Johor (Zon Selatan).

"Masih ada beberapa buah negeri lagi yang belum selesai sepenuhnya agihan dana i-Perantau ini, insya-Allah kita akan cuba untutk selesaikan segera dalam masa terdekat," ujarnya.