Peruntukan Segera RM100,000 Atasi Pencemaran Air Takungan Pulau Redang

SETIU, 25 September - Kerajaan negeri bersetuju meluluskan segera peruntukan sebanyak RM100,000 melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menyelesaikan isu pencemaran air kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia adalah penyelesaian untuk jangka masa pendek agar tidak mencacatkan keindahan Pulau Redang yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung.

Katanya, kerja-kerja pembersihan awal sebelum ini telah dilakukan dan ada hasil daripada lawatan kali pertama pada dua bulan yang lepas.

"Kita lihat 40 peratus telah berjalan dengan baik dan kita dapati bahawa air yang kotor ini datang daripada sekitar resort di sini, jadi ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan.

"Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan pastikan kolam tersebut tidak akan tercemar lagi dan air kolam yang bertakung itu bersih serta tidak akan berbau lagi itu untuk jangka masa pendek.

"Kalau untuk jangka masa panjang kita akan bincang untuk beberapa fasa lagi bagi memastikan semua takungan air buangan ini akan dapat disalurkan dengan baik dan sempurna ke laut," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja, di Pulau Redang di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Razali berkata perkara yang menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan adalah mendidik pengusaha supaya menghargai dan menjaga keindahan yang ada.

"Saya ada nampak sampah dibuang merata-rata, orang Pulau Redang mengadu dia kata kerajaan tidak ambil langkah selesaikan isu sampah ini sedangkan insinerator telah ada untuk mengatasi masalah longgokan sampah

" Tetapi hari ini saya lihat dengan mata sendiri sampah dibuang begitu sahaja oleh pengusaha sekitar.

"Jadi saya telah mengarahkan Datuk Bandar supaya saman pihak tidak bertanggungjawab ini, sebab mereka berduit bukan orang kampung, kita tahu sebab ada 'sign' di situ datang dari resort seolah-olah tanah itu dia punya sedangkan itu adalah tanah kerajaan," ujarnya.