Oleh: Nizam at-Takiri
KUALA NERUS, 2 Julai - Warga emas yang menghidap Parkinson sejak 25 tahun lalu, Abdullah Mamat ,60, mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Abdullah yang berasal dari Kampung Banggol Tok Jiring itu, menerima kunjungan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN), yang diketuai oleh Wan Yusrizal Wan Shafi’I, di rumahnya, baru-baru ini.
Isterinya, Hasnah Mohd Nasir,53, memaklumkan suaminya kini sudah tidak mampu berjalan seperti manusia normal dan perlukan penjagaan yang rapi oleh ahli keluarga untuk menguruskan kehidupan seharian.
“Beliau juga tidak mahu ditinggalkan sendirian dan mahu ditemani selalu, kerana berasa sunyi,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Ziarah PKAPKN yang turut mengunjungi tiga lagi keluarga yang diuji dengan kesusahan di kampung berkenaan.
Hadir sama, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Zainun Ali.
Bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan turut disalurkan oleh Pusat Khidmat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.