Dr Alias Razak di sidang media selepas merasmikan Lexicon Fiesta Closing Ceremony. |
Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berharap dua buah hospital yang sedang dibina dapat disiapkan segera.
Katanya, sesebuah hospital itu dibina dengan kapasiti menampung 800 katil, dan tidak boleh ditambah tenaga kerjanya.
“Sekarang bukan doktor tak cukup tapi pesakit ramai sangat. Sebab hospital sudah dibuat dengan kapasiti (tertentu), kalau tak silap saya 800 katil.
“Di hospital tidak ditambah jawatan lebih daripada kapasiti (ditetapkan), sebab itu kita buat hospital baru. Contohnya Hospital di Dungun dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), bila dah siap nanti dengan sendirinya jawatan ada di situ dan ada pesakit yang akan mendapatkan rawatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Lexicon Fiesta Closing Ceremony di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.
Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, masalah tidak dapat diselesaikan secara drastik kerana ‘pesakit berulang’.
“Yang biasa ramai kat klinik ini sakit yang terpaksa datang berulang. Kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung, jadi (pesakit) berulang-ulang.
“Kadang-kadang sebulan dua kali, minggu ini jumpa doktor pakar perubatan sebab ada masalah kesihatan darah tinggi atau kencing manis.
“Minggu depan (pula) untuk rawatan susulan,” tegas beliau.
Oleh itu, Alias berpesan agar semua penduduk negeri ini mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Sebab itu kita kempen pada hari ini mencegah lebih baik daripada merawat. Jadi, kena jaga kesihatan, ‘exercise’ (bersenam), jaga pemakanan, jangan makan lebih, kurangkan garam supaya kuranglah sikit penyakit kronik,” tambahnya.