Dr. Alias bersalaman dengan pesara sempena Mesyuarat Penubuhan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Kuala Nerus, di Dewan Sivik Gong Badak, Kuala Nerus. |
KUALA NERUS, 20 November – Pesara kerajaan dinasihatkan agar memanfaatkan masa terluang dengan menyertai aktiviti yang dapat mengekalkan kecergasan dan kesihatan mental serta fizikal melalui penyertaan dalam persatuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pesara mestilah mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh persatuan seperti aktiviti senaman atau riadah yang sesuai dengan peringkat umur supaya kekal berbanding dengan mereka yang mensia-siakan masa terluang.
“Program seperti ziarah dapat memberi motivasi yang positif kepada para pesakit yang mana bagi mereka sudah tiada harapan untuk sembuh di samping dapat memberi harapan dan keceriaan untuk menempuhi hari-hari mendatang tanpa putus asa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Penubuhan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Kuala Nerus, di Dewan Sivik Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua PPKM Bahagian Negeri Terengganu, Dato’ Syed Abu Bakar Syed Abdullah.
Sehingga kini terdapat kira-kira 2,400 anggota PPKM di seluruh Terengganu.
Dr Alias berkata, interaksi antara golongan pesara juga dapat membuka minda mereka mengenai dunia luar serta dapat melihat kebesaran Allah SWT melalui program lawatan ke tempat menarik dan bersejarah selain dapat mengeratkan silaturahim sesama anggota.
“Kerajaan sentiasa menyokong program-program yang bermanfaat untuk persatuan dan akan menyumbang dana yang sewajarnya bagi menampung kos aktiviti program, ianya juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pesara yang dahulunya berkhidmat sebagai penjawat awam,” katanya lagi.
Sementara itu, menyentuh mengenai manifesto pada Pilihan Raya Umum yang lalu, kerajaan akan mengecualikan cukai pintu rumah kediaman dengan kadar sifar dan melupuskan segala tunggakan yang terdahulu serta menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit kronik melalui Tabung Darul Iman.