‘Pesta Mandi Hujan’ Tersenarai Dalam Kalendar Pelancongan Negeri
SETIU, 19 Oktober - Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa Pelancongan bakal menyenaraikan pesta mandi hujan ke dalam kalendar Pelancongan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, satu ekosistem baharu diwujdkan dalam 10 ekosistem tersedia di Setiu Wetland untuk tarikan pelancong pada musim tengkujuh.
“Setiu Wetland menggambarkan satu kekayaan biodiversiti di Terengganu, tahun ini kita akan tambah aktiviti mandi hujan ke dalam 10 ekosistem yang sudah ada di sini.
“Mandi hujan ni satu produk pelancongan sebenarnya, kalau kena cara boleh hasilkan pendapatan baharu.
“Saya telah meninjau seluruh tempat di Terengganu, dan kita putuskan daerah Setiu jadi destinasi sesuai untuk aktiviti tersebut, kerana di sini tiada kilang-kilang besar, bebas daripada unsur toksik.
“Kita bakal buka pakej ini kepada pelancong luar negara terutamanya dari belah ‘middle east’, iaitu pelancong dari tanah arab, mereka sangat sukakan hujan.
“Sebenarnya kita sudah laksanakan pada tahun lepas ketika di penghujung monsun timur laut (MTL), sebelum ini kita buat satu pakej berharga RM250 satu orang dan alhamdulillah program tersebut berjaya, tahun ini bakal diadakan pada bulan Disember nanti,” jelasnya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Setiu Wetland 2024 di Boaderwalk Taman Negeri Setiu Wetland, di sini, semalam.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kehadiran pelancong dan pengunjung masuk ke Terengganu ini dengan pelbagai program dan acara dilangsungkan.
“Dalam masa dua bulan, kita bakal adakan 25 acara pelancongan di seluruh negeri, malam ini Karnival Pantai di Kuala Nerus, esok pula ada ‘Gaga Udang’ di Kemaman, juga Karnival ‘Emping padi’ di Kuala Ping, Telemong, dan banyak lagi.
“Tujuannya adalah untuk memanggil pelancong datang ke negeri ini, dengan adanya acara dan sumber alam semula jadi, bakal menarik minat pelancong luar dan juga pengunjung tempatan.
“Rakyat Terengganu yang terlibat dalam sektor pelancongan bakal dapat laba dan keuntungan, walaupun kerajaan dapat sedikit sahaja dari industri pelancongan ini.