lightning-solid
Berita :
Peteh FA Hangatkan Perlawanan Akhir Piala Dunia 2026
Peteh FA Hangatkan Perlawanan Akhir Piala Dunia 2026
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 hari yang lepas
112

KUALA TERENGGANU, 20 Julai- Lebih 100 pemain dan keluarga Peteh Football Academy (Peteh FA) berkumpul bagi menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina, semalam.

Acara yang diadakan dengan sokongan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) itu dimeriahkan seawal jam 9.00 malam dengan pertandingan dan aktiviti seperti sepakan penalti, pertandingan mewarna, 'shooting' bola jaring dan pertandingan e-football.

Pengurus dan pemilik Peteh FA, Wan Azimah Abd Rahman memaklumkan, aktiviti sedemikian sememangnya menjadi antara rutin keluarga Peteh FA sekiranya terdapat perlawanan akhir bola sepak dalam dan luar negara.

"Peteh ini memang akademi bola sepak, jadi lebih baik biar mereka (pemain) menonton bersama ibu bapa serta berada dalam kawalan kita.
"Sama ada Piala Dunia, atau Piala Malaysia pun kalau perlawanan akhir memang kita akan buat tayangan skrin besar.

"Ia sebenarnya bukan sekadar mengeratkan hubungan sesama ahli, tayangan sebegini jadi medium pendidikan tentang pengetahuan bola sepak mereka.

"Aktiviti ini penting sebab kita akan tanya dan jelaskan tentang teknikal dan taktikal dalam perlawanan yang berlangsung", katanya ketika ditemui dalam acara berkenaan semalam.
Tambahnya, itu merupakan antara usaha luar padang pihak pengurusan dan ibu bapa dalam membangunkan 'sport intelligent' anak-anak Peteh FA bagi melahirkan pemain-pemain bola sepak berkualiti di kalangan anak negeri.

Ditubuhkan pada 2016, Peteh FA kini memiliki 160 pemain melibatkan beberapa kategori peringkat umur serta aktif bersaing dalam kejohanan dalam dan luar negeri.

Antara pencapaian terbaik di luar ialah juara keseluruhan dalam Kejohanan Piala Manjung, Perak 2025 apabila mereka memenangi kategori bawah-12 tahun (U12), U14 dan U10.



Tag :

Artikel Berkaitan