PPAT Anjur Program Jom Baca 10 Minit
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Peringkat Negeri tepat jam 11 pagi, hari ini.
Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed berkata, semua individu, pejabat dan komuniti dimohon untuk berhenti sebentar daripada melakukan apa jua pekerjaan atau aktiviti untuk membaca apa jua bahan bacaan selama 10 minit.
“Program ini bertujuan mendorong rakyat Malaysia membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda simbolik dan tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan.
“Program ini diadakan secara serentak di seluruh negara dan di Terengganu program ini diadakan di PPAT,” ujarnya.
Katanya, penganjuran program tahunan kali kelima ini turut mendapat kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.
Marzialina berkata, orang ramai juga turut berpeluang menyertai Pertandingan Swafoto Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia bertemakan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit.
“Syarat pertandingan cukup mudah. Orang ramai hanya perlu ambil gambar bertemakan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit dan muat naik medium sosial seperti Instagram dan Facebook dan layak untuk memenangi hadiah menarik,” ujarnya.