• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

PPTS Kembalikan Senyuman Faizal, Farizatul

Mohd Faizal (dua dari kiri) dan Noor Farizatul (berkerusi roda).

 Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 8 Januari – Berkat kesabaran menempuh dugaan alam perkahwinan termasuk terpaksa menumpang di rumah keluarga mentua akhirnya berbalas apabila Mohd Faizal Muhammad, 35, menerima sebuah rumah di bawah Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

Mohd Faizal dan isteri, Noor Farizatul Akma Ahmad, 32, yang mengalami cacat penglihatan sejak dua tahun lalu tersenyum lebar dan menzahirkan rasa syukur atas kurniaan yang diperolehi.

Katanya, pelbagai ujian getir terpaksa dihadapi mereka termasuk terpaksa menggugurkan kandungan isterinya yang berusia dua bulan kerana Noor Farizatul menghidapi penyakit buah pinggang tahap lima.

“Saya rasa sungguh bersyukur dikurniakan rezeki yang tak disangka ini. Selama ini kami tinggal bersama adik ipar. Alhamdulillah, walaupun ia sebuah rumah yang kecil, namun ia cukup buat kami.

“Mata isteri saya sudah dua tahun lebih tidak boleh melihat. ‘Laser’ pun memang tidak boleh, pembedahan pun tidak boleh buat sebab ia akan mengakibatkan pendarahan dalam mata,” kata Faizal yang bekerja sebagai penjaga Kolam Udang baru-baru ini.

Seorang lagi penerima PPTS, Nor Haslizawati Mat Alim, 35, menyatakan rasa gembira dan menarik nafas lega apabila penantian selama enam tahun untuk memiliki rumah berakhir.
 
Dr Azman menyerahkan replika kunci rumah kepada keluarga Haslizawati.
“Disebabkan tiada rumah, kami enam beranak terpaksa menumpang rumah emak di Kampung Tenang, Besut.

“Kami memohon PPTS ketika anak sulung Tahun Satu, sekarang ini dia sudah Tingkatan Dua. Daripada anak seorang, kini dah empat orang. Alhamdulillah, selepas ini lebih selesalah kami tinggal,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, sebuah rumah PPTS bernilai RM56 ribu itu dibina oleh kerajaan dan menjadi milik penerima yang layak tanpa sebarang bayaran.

“Rumah seluas 850 kaki persegi di Kampung Bukit Rambutan, Kampung Oh, Kampung Gerong dan Kampung Bukit Tanah sedia untuk diduduki oleh penerima masing-masing.

“Bina rumah baharu ini adalah sebahagian daripada gerak kerja kita untuk membantu rakyat memiliki tempat berteduh.

“Semoga saudara kita yang kurang berkemampuan akan dapat membina kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa. Program PPTS ini akan berterusan lagi bagi tahun 2020,” tambah beliau.


Tag: