Program 'Outreach' Memudahkan Vaksinasi Warga Emas Dan Berkerusi Roda

KUALA NERUS, 12 Julai - Tiada yang lebih menggembirakan buat golongan warga emas dari Kampung Kesom di sini kerana mencapai hasrat untuk mengambil vaksin COVID-19 dengan mudah dan cepat.

Antaranya adalah pasangan suami isteri Mat Amin Said, 77, dan Fatimah Salleh, 71, yang bersemangat dalam menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Sekolah Kebangsaan Kesom, baru-baru ini.

Peserta vaksinasi mula mendaftar dari awal pagi

“Kami sangat bersyukur kerana dapat menerima vaksin tanpa perlu pergi jauh. Jika jauh, tentulah ianya menjadi satu kesukaran kepada kami,” ujar pasangan berkenaan yang mendaftar vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera milik cucu mereka.

Seorang lagi warga emas, Wook Ali, 84, menyifatkan penganjuran program seperti ini sangat bermanfaat bagi golongan berkerusi roda sepertinya.

“Makcik berkerusi roda, susah bergerak, terima kasih banyak kerana datang cucuk vaksin di kampung makcik,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Ustaz Ridzuan Hashim menyantuni peserta vaksinasi yang sedang dibantu mengisi borang

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sebanyak 600 dos disediakan untuk penerima vaksin pada kali ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih DUN Buluh Gading sebagai lokasi pertama pemberian vaksin secara “outreach” ini.

"Lokasi yang dipilih ini sangat bertepatan kerana kawasan tersebut agak terpencil dan mempunyai ramai pendaftar vaksinasi dikalangan warga emas," jelasnya selepas meninjau perjalanan program vaksinasi tersebut.