Berita :
Projek Tukun Terbesar: Terengganu Kejar Masa Sebelum Tengkujuh
Projek Tukun Terbesar: Terengganu Kejar Masa Sebelum Tengkujuh
Hidayah Azlin
9 jam yang lepas
93

KUALA TERENGGANU, 15 Mei– Kerajaan Negeri Terengganu kini sedang mempergiatkan usaha menyiapkan 140 unit tukun tiruan menerusi projek 'The Making of Tukun Terengganu' demi memastikan ia dapat dilabuhkan sepenuhnya sebelum bermulanya musim tengkujuh tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kerja-kerja pembuatan tukun tersebut kini sedang berjalan rancak tanpa henti, siang dan malam.


Menurut beliau, garis akhir bagi fasa pelabuhan tukun tersebut ditetapkan pada Oktober depan bagi mengelakkan gangguan cuaca buruk dan laut bergelora.


"Kerja sedang berjalan siang dan malam demi memastikan 140 unit tukun dapat disiapkan dan dilabuhkan sebelum musim tengkujuh bermula di Terengganu tahun ini. Bermakna sekitar bulan Oktober adalah garis akhir Program Labuh Tukun," katanya.

 
Mengulas lanjut mengenai perancangan bagi tahun ini, Dr. Azman menjelaskan bahawa program tersebut akan memberi impak menyeluruh kepada komuniti nelayan di seluruh negeri.


Beliau berkata, sebanyak tujuh daerah yang mempunyai kawasan pesisir pantai telah dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan tukun-tukun berkenaan.


"Bagi tahun 2026, kita akan turun ke tujuh daerah yang mempunyai pantai di Terengganu dengan sasaran 20 unit tukun bagi setiap daerah," jelasnya lagi.


Inisiatif pelabuhan 140 unit tukun ini merupakan antara projek pemuliharaan sumber marin terbesar yang pernah dilaksanakan di negeri ini. 

Selain berfungsi sebagai kawasan pembiakan hidupan laut, ia juga menjadi strategi kerajaan negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf ekonomi nelayan setempat.


Langkah proaktif ini dijangka akan menjadikan perairan Terengganu sebagai zon perikanan yang lebih produktif, sekali gus mengekalkan status negeri itu sebagai antara pengeluar hasil laut utama negara.


Usaha gigih yang ditunjukkan oleh pihak kontraktor dan agensi terlibat diharapkan dapat membuahkan hasil sebelum fasa Monsun Timur Laut melanda hujung tahun ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan