PRU15: Rosol Kekalkan Tradisi Jadi Pengundi Pertama

HULU TERENGGANU, 19 November - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu(P038), Datuk Rosol Wahid menjadi individu pertama membuang undi di Pusat Pengundian Di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman, di sini hari ini.

Rosol yang ditemani isteri, Toh Puan Halipah Ahmad, 59, tiba di perkarangan sekolah pada jam 7.50 pagi.

Beliau selesai membuang undi sekitar pukul 8.04 pagi, sementara isterinya sekitar pukul 8.06 pagi, pada Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) yang berlangsung hari ini.

Rosol yang ditemui pemberita selepas selesai membuang undi berkata, beliau berpuas hati kerana berjaya mengekalkan tradisi sebagai pengundi terawal sejak arwah bapanya masih hidup.

"Saya bersyukur sejak lima penggal yang lalu, sekolah ini menyaksikan saya sebagai orang pertama yang datang menunaikan tanggungjawab membuang undi bersama arwah bapa.

"Kini saya tetap meneruskan apa yang ditinggalkan oleh arwah bersama isteri," katanya ketika ditemui pemberita di SK Bukit Diman, pagi tadi.

Beliau yang juga penyandang kerusi parlimen itu sempat beramah mesra dengan pengundi sebelum memasuki pusat mengundi.

Sementara itu, Rosol berkata 12 adik beradiknya juga membuang undi di pusat pengundian yang sama dan enam anaknya di Sekolah Kebangsaan Telaga.

Semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan waktu penutupan pula berbeza mengikut lokasi, namun semua ditutup sepenuhnya pada pukul 6.00 petang.