KUALA TERENGGANU, 10 November - Menjelang seminggu lagi tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) menyaksikan perang bendera semakin rancak di seluruh negeri termasuk di Terengganu.
Tinjauan mendapati hampir keseluruhan kawasan parlimen dipenuhi bendera parti yang bertanding sebagai strategi ‘perang’ psikologi bagi menunjukkan kekuatan parti masing-masing.
Setakat ini, PN dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata pemasangan bendera menjelang setiap pilihan raya bertujuan menambah kehangatan ‘demam’ itu yang berlangsung sekali setiap lima tahun.
Pemasangan bendera di sekitar pinggir jalan dilakukan pada waktu petang dan malam agar tidak menganggu lalu lintas di sekitar laluan oleh jentera parti-parti terlibat.
SPR telah menetapkan tarikh pengundian awal pada 15 November ini manakala 19 November sebagai hari mengundi.
Terdapat seramai 922,586 pengundi berdaftar yang layak mengundi di seluruh Terengganu pada PRU-15 bagi lapan parlimen nanti.