Jalur Gemilang
Berita :
PRU16: PN Yakin Peluang Lebih Cerah
PRU16: PN Yakin Peluang Lebih Cerah
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
34

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu mencatat keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya semua parti politik diberikan peluang bersaing secara adil tanpa campur tangan pihak tertentu.

Pengerusinya, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keyakinan itu berdasarkan maklumat yang dimiliki parti serta hasil kajian ahli sains politik dan penyelidik yang turun padang bagi menilai sentimen rakyat dan perkembangan politik semasa.

Menurutnya, meskipun tiada mana-mana pihak mampu menjamin kemenangan dalam pilihan raya, dapatan yang diperoleh setakat ini memberikan keyakinan kepada PN untuk menghadapi PRU16.

“Tiada siapa yang boleh memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang, sama ada parti pemerintah mahupun pihak kami sendiri.

“Bagaimanapun, berdasarkan sumber yang kita ada serta penelitian di lapangan, kita agak yakin bahawa sekiranya diberikan peluang dan medan persaingan yang adil, inilah masanya untuk kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SG4 Business Economic Forum 2026 bertemakan Four States. One Economic Vision di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Isnin.

Forum itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil diplomatik, pelabur institusi, pemimpin korporat, pakar ekonomi, institusi kewangan serta pemain industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, amalan demokrasi yang sihat menuntut setiap parti politik diberikan peluang sama rata untuk bertanding tanpa sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan persaingan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau menerajui kerajaan Persekutuan selepas PRU16, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perkara tersebut belum diputuskan dan hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PN perlu mengambil pengajaran daripada PRU15 dengan memastikan kejayaan dalam pilihan raya dapat diterjemahkan kepada pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

“Dalam mana-mana peperangan, kita bukan sekadar mahu memenangi pertempuran, tetapi kita mahu memenangi keseluruhan peperangan.

“Apa yang berlaku pada PRU15, kita memenangi pertempuran tetapi kalah dalam peperangan. Jadi, kita mahu mengubah keadaan itu,” katanya.

Menurutnya, strategi PN pada PRU16 perlu mengambil kira keperluan membentuk kerajaan selepas pilihan raya dan tidak hanya tertumpu kepada kemenangan di kerusi yang ditandingi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri tidak menolak kemungkinan memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya keadaan memerlukan.

Katanya, kesediaan menerima cabaran merupakan sebahagian daripada tanggungjawab seorang pemimpin, namun keputusan mengenai individu yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan hanya akan ditentukan apabila tiba masanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan