PT3 : Terengganu Rekod 556 Pelajar Perolehi Semua A
A. Latiff mengucapkan syabas dan tahniah kepada 556 pelajar yang memperolehi semua A dalam PT3 2017. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail. |
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang berkata, mereka yang memperoleh kesemua A tersebut akan diberikan insentif sebanyak RM500 seorang dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
Katanya, keputusan pelajar PT3 tersebut bukan hanya bergantung kepada subjek yang diambil namun dimasukkan sekali dengan Pentafsiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Psikometrik dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
"Ini merupaka pembelajaran alaf baru yang mana bukan saja melihat pencapaian dari segi semua A pada pelajar tersebut tetapi mengambil kira dari segi pentaksiran lain.
"Kepada yang tidak mendapat kesemua A, mungkin mereka cemerlang dari segi bidang kokurikulum dan ia tidak bermakna mereka tidak cemerlang," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam masa yang sama, A. Latiff turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam PT3 2017.
Beliau juga berharap agar pelajar-pelajar tersebut meneruskan momentum supaya dapat mengekalkan kecemerlangan atau meraih keputusan lebih baik untuk peperiksaan akan datang.
"Pembelajaran di tingkatan empat dan lima amat berbeza. Jadi di sini, pelajar memerlukan motivasi dan kesedaran yang berterusan di kalangan mereka.
"Yang penting pelajar-pelajar harus sedar bahawa pembelajaran ini hendaklah diperbaiki jika ada kelemahan-kelemahan supaya mereka dapat mengekalkan prestasi yang baik dan akhirnya dapat melahirkan pelajar-pelajar Terengganu yang hebat dan cemerlang di peringkat yang lebih tinggi," katanya.