Pukul OKU : 'Lelaki Berbaju Hijau Adalah Saya' - Exco Bidas Fitnah Jijik

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – “Lelaki berbaju hijau itu adalah saya,” tegas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman bagi menafikan fitnah yang disebarkan di media sosial. 

Fitnah tersebut, menurut beliau, telah dimainkan oleh individu-individu yang dipercayai sebagai 'askar upahan maya' yang mempunyai agenda politik tertentu.

Razali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu, merujuk kepada satu gambar yang tular sejak semalam di media sosial, yang mengaitkan cuba mengaitkan PAS dengan satu insiden kekerasan terhadap orang kelainan upaya (OKU). 

”Gambar tersebut menunjukkan dua individu yang masing-masing berpakaian berbaju hijau dan berbaju merah. Ayat yang disertakan bersama gambar itu menyebut, ‘Gambar 1: Mendengar ceramah Ustaz PAS (berbaju hijau), Gambar 2: Selepas mendengar ceramah Ustaz PAS (berbaju merah memukul OKU).

“Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini dengan jelas cuba mengaitkan insiden kekerasan terhadap OKU dengan PAS, sedangkan, saya lelaki berbaju hijau dalam gambar itu, dan lelaki berbaju merah yang didakwa terlibat dalam kekerasan adalah individu lain,” katanya.

Menurut Razali, lelaki berbaju merah itu kini sedang disiasat oleh pihak polis.

“Saya difahamkan lelaki tersebut telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut. Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus,” ujar beliau.

Razali menyatakan kehairanannya terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik murahan. 

Menurutnya, tindakan tersebut tidak hanya merosakkan imej dan reputasi individu yang terlibat, tetapi juga menambah beban kepada mereka yang terkesan oleh insiden tersebut.

“Saya tidak faham kenapa ada segelintir manusia yang menjadikan isu ini sebagai isu politik. Sehingga sanggup mempergunakan kesengsaraan pihak lain untuk kepentingan peribadi atau politik mereka. 

“Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika dan tidak bermoral. Kita harus ingat, setiap tindakan kita memberi kesan kepada masyarakat, dan kita perlu bertanggungjawab atas segala perbuatan kita,” tambah beliau.

Razali juga menyeru agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu atau fitnah yang tidak berasas, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu berkenaan dengan cara sewajarnya.

 


Tag: