Pengunjung Rumbu Tengok Pelita Raya
KUALA NERUS, 14 Mac - Kehadiran pengunjung pada malam pembukaan program Pelita Raya 2025, malam tadi membuktikan sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, rata-rata mengatakan lokasi program sesuai kerana luas, kawasan parkir mencukupi disamping pengudaraan yang baik.
"Saya dapati ramai pengunjung masih belum berpuas hati kerana pemasangan pelita belum sempurna sepenuhnya, saya minta datang lagi malam esok (malam ini) untuk dapatkan pengalaman sempurna.
"Memang kita ada sedikit kutipan tiket, tetapi untuk dewasa sahaja.
"Apapun itu bukan perkara pokoknya, apa yang penting ialah kemeriahan yang dirasai dan diperolehi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau program Pelita Raya di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Razali sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta terlibat dalam menjayakan Pelita Raya 2025.
"Ia memberikan tambah nilai yang sangat besar yang mana tahun ini peserta negeri Kelantan dan Perlis bersama dengan kita bertanding dalam kategori agensi.
"Seperti biasa, kita ada lapan daerah mewakili kawasan masing-masing. Kita juga ada smart partnership dengan beberapa negara luar dan yang hadir adalah empat negara.
"Mereka adalah diantara orang Muslim yang memberi sokongan kepada program, tahun ini, mereka masuk secara pameran dan kita ada rakan strategik dari seluruh negeri melalui penglibatan mahasiswa mereka untuk menunjukkan budaya masing-masing.
"Tidak lupa juga, kita ada jemput komuniti orang Asli, kaum Cina dan India (melalui persatuan) dan kita ingin perlihatkan negeri Terengganu kuat perpaduan," tambahnya.
Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal menyifatkan, pembaharuan dalam program Pelita Raya pada saban tahun merupakan inisiatif yang amat baik.
"Kalau kita lihat sejarahnya, pertandingan pelita raya ini hanya diadakan di kampung-kampung tertentu. Jadi, ia tidak ada limpahan ekonomi yang banyak, cuma mempamerkan keceriaan sahaja.
"Dari situ, kita bawa ke Kampung Budaya Terengganu (KBT), kemudian di Taman Tamadun Islam (TTI) dan perluaskan pertandingan antara daerah. Kita juga sudah mula jemput negeri dan negara luar.
"Ini inisiatif yang bagus dan menjadikan program ini lebih besar. Maka, lebih ramai pengunjung dan dengan penyertaan dari luar kita mengharapkan akan ramai pengunjung luar datang dan membawa limpahan ekonomi ke Terengganu.
"Program begini yang kita cari-cari kerana mempunyai potensi ekonomi yang tinggi. Saya harap Tourism Terengganu akan perbanyakkan lagi skop dengan penyertaan negeri dan agensi," katanya.
Program Pelita Raya kali ini akan dibuka setiap malam, sehingga Ahad malam.